AWAS amukan Korea Selatan. Itu perkataan paling tepat menggambarkan situasi perlawanan membabitkan skuad negara dengan lawan yang menduduki ranking keenam dunia itu pada perlawanan keempat kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland hari ini.
Apa tidaknya, ketika skuad negara selesa meraih sembilan mata penuh selepas tiga perlawanan, Korea yang menjadi pasukan pilihan utama pada kempen kelayakan kali ini, terpaksa berpuas hati apabila diikat tuan rumah 1-1 semalam sekali gus meletakkan mereka di kedudukan ketiga di belakang Ireland, ketinggalan dua mata berbanding skuad negara yang menduduki tangga teratas.
Situasi itu pasti mengancam peluang mereka untuk menempah tiket ke saingan final dan pertemuan menentang skuad negara cukup genting bagi mereka untuk mencatat kemenangan.
Namun di sebalik keghairahan Korea untuk membenam Malaysia, ketua jurulatihnya, Shin Seok Kyo sedar anak buahnya bakal berdepan kesukaran sambil mengakui skuad negara dilengkapi dengan beberapa pemain berbahaya.
